SHAH ALAM: Kongres Nasional Khas Keadilan 2024 meminda perlembagaan PKR bagi membolehkan lebih ramai perwakilan mengundi dalam pemilihan di peringkat jawatankuasa tertinggi mengikut nisbah jumlah anggota bagi setiap cabang.
Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil berkata, pindaan tersebut akan memberi keadilan selain kuota mengikut etnik dan gender supaya semua anggota terlibat dalam proses pemilihan kepemimpinan parti.
“Itu adalah pindaan yang memberi lebih keadilan di samping menegaskan bahawa proses pendigitalan itu kita terapkan dalam parti yang akan membuat undian di peringkat cabang secara dalam talian.
“Jadi, ada beberapa prinsip yang ditegaskan, harapan saya itu akan membolehkan penyertaan semua anggota daripada pelbagai kaum, negeri, latar belakang dalam proses memilih pimpinan tertinggi parti bila tiba masanya tadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri kongres tersebut, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pindaan tersebut memerlukan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menentukan kuota mengikut formula yang akan diasaskan bagi membolehkan pemilihan dibuat mengikut kaum, etnik dan gender.
“Jadi nanti, kita akan tetapkan angka-angka yang akan diputuskan oleh MPP berdasarkan juga kepada daftar pemilih daripada SPR sekurang-kurangnya enam bulan yang terdahulu, jadi kita akan tentukan mengikut peratusan kaum, jadi kita akan asaskan formulanya di situ.
“Ia akan berbeza (jumlah perwakilan), bagi setiap cabang yang mempunyai anggota lebih ramai akan ada peningkatan kepada jumlah supaya ia lebih berbentuk proportional akan sempadan dengan jumlah anggota.
“Sesetengah cabang mungkin ada beberapa ribu ahli, sesetengah cabang lagi ada berpuluh ribu, jadi kita hendak beri satu keadilan kepada jumlah atau cabang-cabang yang mempunyai lebih ramai anggota. Itu juga pindaan yang merupakan keadilan untuk cabang-cabang dan juga kepelbagaian dalam parti,” jelasnya.