TUMPAT: Tindakan seorang lelaki yang disyaki warga Thailand melakukan aktiviti rentas sempadan membawa padah apabila dicekup Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas memasuki negara ini melalui pangkalan haram di Kampung Pulau Ular di sini semalam.
Suspek tersebut ditahan pada pukul 11.30 pagi semasa anggota PGA melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan itu anggota bertugas telah ternampak sebuah bot dari Thailand menurunkan penumpang di bawah jambatan dekat Kampung Pulau Ular.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota PGA pemandu bot tersebut bertindak melarikan diri dengan meninggalkan lelaki berkenaan di lokasi.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati suspek gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan telah masuk ke negara ini melalui pengkalan haram.
“Suspek telah dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
Katnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram dari terus berleluasa di sempadan negara.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mahkamah Majistret Pasir Mas menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 kepada tiga lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini dari Thailand menggunakan laluan yang tidak sah di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang pada Isnin lalu.-UTUSAN