RANTAU PANJANG: Tindakan tiga individu merentas sempadan Malaysia-Thailand menggunakan laluan tidak saha membawa padah apabila mereka ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa melakukan aktiviti itu melalui pangkalan haram Pohon Jambu di sini semalam.
Kesemua individu itu ditahan pada pukul 4 petang semasa melakukan aktiviti rentas sempadan dengan menyeberang Sungai Golok menggunakan sebuah bot dari Thailand menggunakan laluan tidak sah.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa serbuan itu pemandu bot telah cuba melarikan diri namun berjaya diberkas oleh anggota bertugas.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati tiada barangan yang menyalahi undang-undang ditemukan. Kesemua mereka yang ditahan itu terdiri daripada dia penumpang dan seorang pemandu bot.
“Suspek yang terlibat ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan telah diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram dari terus berleluasa di sempadan negara.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, empat individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas cuba merentas sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok dengan menggunakan pangkalan haram di Rantau Panjang, di sini semalam.
Mereka ditahan selepas polis menguatkuasakan larangan rentas sempadan bermula 1 Disember lalu yang mana peraturan tersebut turut terpakai kepada pelajar warganegara Malaysia yang tinggal Thailand tetapi bersekolah di Rantau Panjang.-UTUSAN