PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Petronas bukan syarikat minyak dari Semenanjung sebaliknya milik negara seperti yang digariskan di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Menurut Perdana Menteri, tiada kompromi berhubung perkara itu mengenai peranan Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam industri minyak dan gas di wilayah terlibat.
Oleh itu katanya, adalah penting bagi Petronas untuk diiktiraf sebagai sebuah syarikat minyak nasional dengan semua pihak menghormati obligasi kontrak ditetapkan dengan tanpa kompromi.
“Tetapi hubungan saya dengan Premier Abang Johari (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) sangat baik. Akhirnya, kami mahukan penyelesaian yang baik untuk isu ini.
“Akhirnya Akta Pembangunan Petronas (PDA) adalah akta nasional dan Petronas adalah sebuah syarikat nasional, bukan syarikat Semenanjung. Saya ingin menjelaskan perkara ini kepada anda dengan sangat jelas. Tiada kompromi dalam hal ini. Tidak kira apa pun tuntutannya.
“Jika anda terima itu, maka negara atau negeri kini yang mahu memastikan bahawa mereka yang mahu menegaskan kedudukan mereka untuk melindungi kepentingan, terutamanya Sabah dan Sarawak, kerana kami juga terikat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963),” katanya dalam sidang akhbar bersama pengarang media di sini semalam.
Katanya, dalam memutuskan penubuhan Petros, sudah tentu ada suara yang mengatakan syarikat itu sebagai pemegang tunggal yang akan menentukan segalanya.
Tetapi jelasnya, itu bukan pandangan mereka dan juga bukan pandangan beliau. – UTUSAN