Petrol bersubsidi cuba diseludup ke negara jiran dirampas - Utusan Malaysia

Petrol bersubsidi cuba diseludup ke negara jiran dirampas

SITI Mang (tengah) semasa sidang akhbar di Menara Kastam, Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas petrol bersubsidi yang cuba diseludup keluar ke negara jiran pada awal Disember lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, rampasan itu dilakukan pada 4 Disember, kira-kira pukul 10.10 malam di kawasan perairan Muntai-Muntai Semporna.

Beliau berkata, semasa pasukan penguatkuasa Kastam menjalankan pemeriksaan terhadap bot-bot yang berada di kawasan tersebut, didapati sebuah daripadanya tiba-tiba memecut meninggalkan kawasan pemeriksaan menuju ke kawasan perairan cetek.

“Juragan bot tersebut juga melarikan diri dan pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan menemukan sejumlah minyak petrol bersubsidi yang disyaki cuba diseludup ke Filipina.

“Kesemua petrol itu disimpan di dalam tong 28 gelen berwarna putih, selain pihak berkuasa turut menyita bot berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam kes ini berjumlah RM23,548.16 manakala, nilai barang rampasan pula berjumlah RM23,228.16,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, modus operandi dalam kes itu adalah menggunakan bot laju untuk membawa keluar barang bersubsidi menerusi laluan laut ke negara jiran. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

Kata beliau, aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah, mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara dan kesejahteraan rakyat.

Maka, beliau menyarankan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan untuk menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau Pejabat JKDM berhampiran. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya