ARAU: Projek penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di negeri ini dihentikan sementara waktu susulan beberapa kekangan tidak dapat dielakkan.
Sebelum ini, projek tersebut dilaksanakan di dua kawasan iaitu di Kampung Lat 1,000, Simpang Empat, dan Pauh, di sini, melibatkan keluasan lebih 100 hektar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, berikutan perkembangan itu, kerajaan negeri bagaimanapun memberi jaminan projek yang ditangguhkan pertengahan tahun ini akan kembali diteruskan selepas ini.
“Kita akan teruskan balik selepas berdepan beberapa kekangan seperti masalah prasarana yang menyebabkan kita tidak dapat melaksanakan sebaik mungkin. Jangkaan untuk sambung semula projek itu sedang dalam proses dan masih dalam perbincangan lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan bencana tanaman Perlis 2024 di Pertubuhan Peladang E1 Simpang Empat, di sini hari ini.
Inisiatif tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di bawah Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan itu mula dilaksanakan di Perlis pada tahun lalu dalam usaha melonjakkan peningkatan hasil padi ke tahap yang lebih baik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, pelaksanaan projek itu dijangka dapat membantu dalam keterjaminan makanan negara memandangkan buat masa ini, Malaysia menerima eksport beras dari India, Vietnam, Thailand dan beberapa negara lain sebanyak 35 peratus.
Kata Mohamad, pelaksanaan projek tersebut dapat membantu dalam menambah hasil sebanyak sekurang-kurangnya lapan tan metrik bagi satu hektar sekali gus meningkatkan 80 peratus keperluan tahap sara diri (SSL) beras negara menjelang tahun 2030.
Sementara itu, Razali memberitahu, bencana ribut serta banjir pada September dan Oktober lalu telah mengakibatkan kemusnahan tanaman dengan anggaran kerugian RM2.908 juta melibatkan keluasan 526.47 hektar.
“Susulan itu, kerajaan negeri telah mengambil langkah membantu meringankan beban petani dengan menyediakan insentif bantuan sebanyak RM500 per hektar seorang dan nilai minima RM100 seorang melibatkan 628 penerima dengan jumlah keseluruhan RM202,868,” katanya.
Di samping itu, Razali berkata, padi tenggelam pada November lalu juga mengakibatkan kemusnahan keluasan tanaman sekitar 4,333.48 hektar bagi kawasan dalam dan luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Katanya, petani terjejas juga diharap dapat segera membuat aduan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mengikut prosedur operasi ditetapkan sebelum 20 Disember.
“Kita juga berharap agar kementerian dapat meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada MADA untuk kerja menaik taraf sistem saliran agar dapat mengatasi isu banjir,” katanya.-UTUSAN