KANGAR: Perlis berjaya merekodkan sifar miskin tegar bagi tempoh empat bulan berturut-turut bermula dari September sehingga 10 Disember baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan negeri, Datin Marzita Mansor berkata, selain itu, sejumlah 14,160 ketua isi rumah (KIR) berstatus miskin di negeri ini juga telah berdaftar di bawah sistem eKasih.
Katanya, pengurangan KIR miskin tegar adalah bergantung kepada jumlah pendapatan isi rumah termasuk bantuan diberikan jabatan dan agensi khususnya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
“Kerajaan negeri berkeyakinan bahawa selain skim bantuan daripada agensi kerajaan, usaha ke arah membuka peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor akan dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Perlis,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Marzita menjawab pertanyaan dikemukakan Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) berhubung statistik terkini golongan rakyat dalam kategori miskin dan miskin tegar di Perlis.
Mengulas lanjut, Marzita berkata, kerajaan negeri juga sedang melaksanakan pembangunan berimpak tinggi yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan bagi memperbaiki taraf hidup rakyat negeri ini.
“Sebagai contoh, kewujudan lokasi industri seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) telah membuka ruang untuk syarikat seperti Jabil beroperasi dan membuka peluang pekerjaan buat rakyat Perlis,” katanya.
Dalam pelaksanaan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs), Marzita berkata, kerajaan negeri juga telah membuka ruang kepada komuniti melalui pendekatan Community Based Tourism dalam membantu menyediakan peluang bagi menjana pendapatan baharu.
Katanya, selain itu, kerjasama erat dalam program bersama jabatan seperti Inisiatf Pendapatan Rakyat (IPR) juga dilihat membantu negeri dalam usaha bagi menoktahkan kemiskinan.
“Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 135 orang penduduk negeri ini telah menerima bantuan IPR yang dapat membantu menambah pendapatan rakyat,” katanya.-UTUSAN