ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar prosedur operasi standard (SOP) menghadapi bencana seperti banjir, hujan lebat dan angin kencang diperkemaskan untuk memastikan pengurusan bencana lebih sistematik dan berkesan.
Titah baginda, SOP tersebut perlu turut melibatkan pemimpin akar umbi seperti jawatankuasa masjid, ketua kampung dan rukun tetangga untuk memperkukuhkan pengurusan komuniti semasa bencana.
“Selain itu, perlindungan harta benda seperti rumah, dokumen penting dan barangan berharga juga perlu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko kerugian.
“Semua pihak harus serius mengambil tindakan berdasarkan amaran awal yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan,” titah baginda selepas berkenan berangkat meninjau kawasan terjejas banjir di Behor Mempelam dan Banat di sini semalam.
Turut mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Amir Budiman Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor serta penghulu bahagian pentadbiran daerah, Reswan Ramli.
Tuanku Syed Faizuddin turut menekankan bahawa pengurusan bencana yang cekap melalui SOP yang diperkemas mampu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan impak bencana pada masa hadapan.
Sementara itu, baginda turut menyeru rakyat supaya mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
Dalam pada itu, keadaan banjir di Perlis semakin pulih dengan kebanyakan PPS telah ditutup dengan hanya satu PPS masih beroperasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, menempatkan 75 mangsa.-UTUSAN