Perjuangan rakyat Syria terbalas - Utusan Malaysia

Perjuangan rakyat Syria terbalas

KONFLIK Syria berakhir kelmarin.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Kejatuhan rejim Bashar al-Assad disambut dengan linangan air mata dan sorakan kegembiraan oleh rakyat Syria di seluruh dunia, selepas lebih sedekad ditadbir oleh pemimpin kuku besi itu. 

Ribuan rakyat Syria di bandar-bandar utama di seluruh Eropah menzahirkan kesyukuran dengan berhimpun beramai-ramai sebagai tanda mereka bebas daripada cengkaman diktator. 

Di Berlin, kira-kira 5,000 orang berhimpun sambil mengibarkan bendera di  dataran daerah Kreuzberg.

Jerman menempatkan lebih sejuta rakyat Syria, sekaligus menjadikannya diaspora Syria terbesar di Eropah.

Ramai bersorak sambil mengibarkan bendera dan sepanduk tertulis ‘Syria bebas’ serta melaungkan takbir sebagai tanda kemenangan.

Mekanik berasal dari Aleppo, Ahmad Al-Hallabi, 27, tiba di Jerman melalui Turkiye dan Greece pada 2015, ketika kemuncak kemasukan migran ke Eropah.

“Semasa 10 tahun lalu, saya berada di Syria dan melihat perkara yang tidak sepatutnya dan amat mustahil untuk dilupakan.

“Bashar adalah pengganas paling teruk yang boleh dibayangkan. Saya berharap akan ada keamanan dan segala yang dimusnahkan Bashar serta pengikutnya akan dibina semula,” katanya.

Kebanyakan rakyat Syria di Jerman melarikan diri dari negara mereka selepas perang saudara tercetus pada 2011, dengan kebanyakannya tinggal di daerah Neukoelln di Berlin.

Bukan hanya di Berlin, rakyat Syria di Athens, Belgrade, Istanbul, London, Paris, Stockholm dan Vienna juga mengibarkan bendera pembangkang, bagi menunjukkan penentangan terhadap rejim Bashar.

Ratusan orang menyertai perhimpunan di luar Masjid Fatih di Istanbul, antara tumpuan bagi masyarakat Syria yang berjumlah 500,000 orang di bandar Turkiye.

Kira-kira ratusan lagi rakyat Syria berkumpul di luar Parlimen di tengah Athens, melaungkan kebebasan dan meraikan kegembiraan.

Ribuan lagi turut berhimpun di Stockholm, Copenhagen dan Vienna, termasuk Sweden yang mempunyai diaspora Syria kedua terbesar di Eropah.

Ramai rakyat Syria menyatakan keinginan mereka untuk kembali ke negara asal yang hancur akibat perang.

“Seperti ramai rakyat Syria yang lain, saya ingin kembali ke negara asal untuk membantu membangunkannya semula,” kata Bassam Al-Hamada yang tiba di Jerman pada awal 2016.

RAKYAT MENANG 

Pemimpin kumpulan pembangkang utama yang merampas ibu kota Syria, Abu Mohammed al-Julani menegaskan rakyat adalah ‘pemilik sah’ negara itu selepas Bashar digulingkan. 

Beliau turut mengisytiharkan ‘sejarah baharu’ telah tertulis di seluruh Asia Barat.

Pemimpin itu menyampaikan ucapan kemenangan di Masjid Umayyah yang merupakan simbolik di ibu negara, hanya beberapa jam selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menakluk bandar itu, Ahad lalu. 

Jelasnya, kerajaan ‘zalim’ Bashar yang melarikan diri dari Syria dan kini berada di Russia telah berjaya digulingkan.

“Rejim al-Assad memenjarakan beribu-ribu orang awam secara tidak adil yang tidak melakukan sebarang jenayah.

“Kami (rakyat Syria) adalah pemilik sah (negara ini). Kami telah berjuang dan hari ini diberi ganjaran kemenangan.

“Berapa ramai orang yang dipindahkan di seluruh dunia? Berapa ramai yang terpaksa tinggal di khemah? Berapa ramai yang mati lemas di laut?” soalnya kepada khalayak.

Pada masa sama, Al-Julani turut memberi peringatan kepada orang ramai untuk melakukan kerja keras bagi membina Syria baharu yang akan menjadi ‘suar bagi negara Islam’.

“Saudara-saudaraku, sejarah baharu sedang ditulis di seluruh rantau ini selepas kemenangan besar.

“Kemenangan ini adalah untuk semua rakyat Syria. Kamu semua adalah sebahagian daripada kemenangan ini,” katanya. -AFP/Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya