Perhimpunan aman: Jangan salah guna mahasiswa UMS - Utusan Malaysia

Perhimpunan aman: Jangan salah guna mahasiswa UMS

JEFFREY Kitingan semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas di Dewan Hongkod Koisaan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengingatkan kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar tidak disalah guna oleh pihak tertentu dalam penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah.

Beliau berkata, semua pihak menentang rasuah namun, dalam penganjuran perhimpunan sebegitu, jangan biarkan mereka disalah guna oleh pihak tertentu.

“Sebelum sesuatu dibuktikan sahih, jangan dengar propaganda. Nampak sahaja video, sekarang video pun boleh diubah suai, boleh dimanipulasi.

“Baru-baru ini ada beberapa Whatsapp tular yang tidak betul dan memang ini bertujuan untuk merosakkan hubungan antara pemimpin agar mereka saling tidak percaya antara satu sama lain,” katanya semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS)-STAR, di Dewan Hongkod Koisaan, hari ini.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, beliau menasihatkan kumpulan mahasiswa UMS agar jangan terlibat dengan perhimpunan sebegitu.

Kata beliau, kerajaan memang ingin membanteras rasuah kerana ia satu amalan yang tidak baik bagi sebuah negara.

Mengulas tentang lantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri (TYT) ke-11, Jeffrey berkata, pertikaian mengenai lantikan itu adalah perkara biasa dan ia adalah satu keunikan. Lambat laun rakyat akan menerima juga pelantikan tersebut.

Ditanya jika pelantikan itu akan menjejaskan tahap sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jeffrey berkata, beliau tidak ingin mengulas tentang perkara itu kerana beliau tidak terlibat dalam pelantikan Musa.

Suara Mahasiswa UMS melalui laman media sosial memaklumkan akan mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di depan Menara Kinabalu pada 31 Disember ini.

Selain kumpulan tersebut, Gerakan Kuasa Rakyat (G57) juga akan mengadakan Himpunan Bangkit Sabahan pertahankan hak Sabah sebagai tanda sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada tarikh dan lokasi yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya