KUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang – Sri Petaling, tengah malam tadi bukan sahaja mencetuskan kekacauan, malah menyebabkan kerosakan serius pada gerabak tersebut.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, kumpulan berkenaan bertindak ganas dengan merosakkan pintu dan cermin tingkap tren, selain membaling tong sampah serta penghadang pintu lif di platform berkenaan.
“Kami amat kesal dengan kerosakan yang berlaku, termasuk pada pintu cermin tren yang menyebabkan perkhidmatan terhenti selama beberapa minit.
“Tindakan itu jelas mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab kumpulan tersebut,” katanya.
Menurutnya, kerosakan pada tren dan kemudahan stesen akan memerlukan kos baik pulih yang besar, sekali gus membebankan Prasarana sebagai pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.
“Perbuatan seperti itu tidak boleh diterima kerana ia menyusahkan pengguna lain dan menjejaskan operasi perkhidmatan.
“Prasarana akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Jelas Prasarana, pasukan polis bantuan Prasarana bertindak meleraikan pergaduhan melibatkan kira-kira 20 hingga 30 individu yang bertindak agresif dengan bertumbuk dan membaling objek ke arah tren dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 12.03 tengah malam itu.
“Polis bantuan kemudian mengiring kumpulan terbabit keluar dari stesen bagi memastikan situasi terkawal.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL, Prasarana memberi jaminan bahawa mereka akan terus memastikan sistem pengangkutan awam kekal selamat dan selesa untuk semua.
“Kami menyeru semua pengguna untuk lebih bertanggungjawab dan menjaga kemudahan awam yang disediakan.
“Perbuatan seperti itu bukan sahaja merugikan kami, tetapi juga mengganggu perjalanan ribuan pengguna lain,” katanya.
Terdahulu, rakaman video pergaduhan berdurasi 33 saat tular di media sosial turut mencetuskan kemarahan warganet, dengan ramai mengecam tindakan kumpulan tersebut yang memusnahkan harta awam tanpa rasa tanggungjawab. – UTUSAN