Perancangan strategik pacu pelaburan dan kemajuan ekonomi - PM - Utusan Malaysia

Perancangan strategik pacu pelaburan dan kemajuan ekonomi – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai perancangan strategik sepanjang 2024 untuk melonjakkan ekonomi negara serta memastikan keharmonian yang berpanjangan kepada rakyat dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara pencapaian utama negara ialah pelaburan digital yang diluluskan berjumlah RM254.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2024 yang berjaya mewujudkan 159,000 peluang pekerjaan.

Menerusi laporan bertajuk ‘Sorotan 2024: Melonjak Ekonomi, Melimpah Kemakmuran’, beliau berkongsi beberapa inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan serta kejayaan yang dicapai oleh ekonomi negara.

“Syarikat teknologi gergasi seperti Microsoft (RM10.5 bilion), NVIDIA dan YTL (RM20 bilion), Oracle (RM27 bilion), AWS (RM21.3 bilion) dan Google (RM9.4 bilion) adalah antara pelabur utama.

“Pelaburan ini dijangka memacu pertumbuhan teknologi dan menjadikan Malaysia sebagai hab digital Asia Tenggara,” katanya dalam laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara lain ialah pelaburan syarikat Infineon di Kedah berjumlah RM30.1 bilion untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida terbesar di dunia yang akan menyediakan 4,000 peluang pekerjaan.

Kata beliau, langkah ini akan mengukuhkan industri semikonduktor negara, menarik lebih ramai pelabur antarabangsa dan meningkatkan eksport.

“Kerajaan juga memfokuskan pembangunan tenaga hijau dengan pelancaran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak.

“Projek ladang solar seluas 267.09 hektar itu dibangunkan melalui kerjasama strategik antara SD Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, bagi meningkatkan sosioekonomi, kerajaan memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang memberi tumpuan kepada penglibatan ekonomi Bumiputera melalui inisiatif tersasar serta mempromosikan keadilan sosio-ekonomi.

“Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030 pula disasarkan untuk menyumbang RM82 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 dengan jangkaan 900,000 pekerjaan baharu melalui pelbagai projek kerjasama awam-swasta (PPP),” jelasnya.

Selain itu, Anwar berkata, enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur RM120 bilion di bawah program pelaburan GLIC (GEAR-uP) untuk meningkatkan sektor pembuatan berteknologi tinggi dan tenaga mampan serta memacu ketahanan ekonomi jangka panjang.

Kata beliau, perkembangan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) termasuk pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7 peratus (RM4.2 bilion) pada suku kedua 2024 mencatatkan peningkatan pekerjaan sebanyak 0.9 peratus atau 200,000 pekerjaan dan pelaburan sektor semikonduktor bernilai RM34.6 bilion.

“Kerajaan akan terus bekerja keras di tahun-tahun mendatang untuk memacu masa depan kita yang lebih sejahtera, insya Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya