Penuntut IPG maut kemalangan, tidak duduki peperiksaan akhir

Penuntut IPG maut kemalangan, tidak duduki peperiksaan akhir

KENDERAAN jenis Proton X50 yang dinaiki mansa remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Impian seorang penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut, Terengganu untuk menduduki peperiksaan terakhir tidak kesampaian selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya dirempuh sebuah treler di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, hari ini.

Nahas kira-kira pukul 6.45 pagi itu turut melibatkan tiga lagi kenderaan yang dinaiki rakan-rakan mangsa, Nurul Alya Fatnin Mohd. Mawardzi, 22, yang sedang berkonvoi dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampus mereka di Besut. 

Difahamkan, empat buah kenderaan yang dinaiki mangsa bersama rakan-rakannya dikatakan dirempuh oleh sebuah treler ketika kenderaan mereka berhenti di bahu jalan kerana salah sebuah kenderaan mengalami kerosakan tayar.

Ibu mangsa, Azizah Harun, 62, suaminya, Mohd. Mawardzi Akhir, 65, menerima panggilan daripada seorang kenalan anaknya kira-kira pukul 7.58 pagi memaklumkan anak bongsu daripada lima beradik itu terlibat kemalangan.

Katanya, Nurul Alya Fatnin bersama 11 lagi rakannya baharu sahaja pulang lawatan di Indonesia sebelum mereka berkonvoi menaiki empat buah kenderaan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampus di Besut. 

“Pada pagi tadi, suami sempat menghantar kiriman WhatsApp pada pukul 6.29 pagi bertanyakan lokasi anak bongsu kami.

“Nurul Alya Fatnin memaklumkan mereka sudah menuju ke Gua Musang dan akan terus pulang ke IPG kerana ada peperiksaan esok,” katanya ketika ditemui pemberita di Bahagian Forensik Hospital  Gua Musang di sini hari ini.

Azizah memberitahu, mengikut perancangan, Nurul Alya akan pulang bercuti ke rumah keluarganya di Bukit Panau, Tanah Merah selepas selesai menduduki ujian tersebut esok. 

Katanya, mangsa sepatutnya akan menjalani latihan praktikal untuk mengajar di sebuah sekolah pada bulan Februari tahun depan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.13 pagi.

“Anggota bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah trer jenis Volvo dengan sebuah SUV jenis Proton X50 selain dua buah kereta jenis Perodua Axia dan Proton Saga.

“Kemalangan itu melibatkan empat mangsa dalam kenderaan Proton X50 dan salah seorang daripada mereka maut akibat tersepit. Seorang lagi mangsa di dalam sebuah Perodua Axia cedera parah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya