ALOR SETAR: Penuntut Palestin di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) yang maut ditembak tentera Israel pada 7 Oktober tahun lalu menerima ijazah anumerta pada Majlis Konvokesyen Keempat universiti berkenaan semalam.
Skrol Allahyarham Sulaiman JS Abuanza, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu disampaikan oleh Pro Canselor AIU, Sonny Bill Williams kepada sahabat baik dan rakan senegaranya, Adnan Madi, 21.
Sulaiman mati syahid pada hari lahirnya ke-23 iaitu 7 Oktober 2023, ketika rakyat negara itu mempertahankan bumi Palestin yang diserang hendap tentera Zionis. Satu daripada tujuh peluru mengenai tangan kirinya dan secara tragis ke jantungnya.
Menurut Naib Canselor yang juga Presiden AIU, Prof. Datuk Ir. Mohd. Saleh Jaafar, Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai penuntut yang berdedikasi dan komitmen sepanjang pengajiannya di universiti itu.
“Tahun ini buat julung kali AIU menganugerahkan ijazah anumerta kepada Allahyarham Sulaiman yang syahid dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, dia merupakan seorang penuntut terbaik dan sentiasa dikenang sehingga hari ini di atas potensi yang sering ditonjolkan olehnya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Suasana konvokesyen itu turut sayu apabila video ibu kandung Allahyarham, Abeer Ahmad, 45, ditayangkan di layar besar untuk mengucapkan penghargaan kepada AIU di atas penganugerahan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga AIU terutama pengasas AIU, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di atas anugerah ini. Saya mewakili orang Palestin mengucapkan penghargaan di atas peluang yang diberikan kepada anak saya,” katanya.
Tragedi tersebut menimpa ketika Sulaiman yang berada di tahun kedua pengajiannya di AIU pulang ke Gaza untuk bercuti bagi melakukan pembedahan lasik di Mesir.
Terdahulu, seramai 229 graduan menerima ijazah masing-masing dalam konvokesyen itu terdiri daripada sembilan jurusan dari Pusat Pengajian Perniagaan, Sains Sosial, Pendidikan dan Sains Manusia dan Pengkomputeran dan Informatik.
Sementara itu, Mohd. Saleh berkata, sehingga kini sebanyak 1,695 penuntut dari 60 negara mendaftar masuk ke AIU iaitu 82 peratus daripadanya pelajar antarabangsa.
“AIU juga melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik mereka tetapi pembangunan karakter masing-masing kerana kita menggalakkan mereka mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti kokurikulum.
“Kalau kita lihat dalam majlis konvokesyen ini kebanyakan graduan memperoleh kelas pertama dan kelas kedua teratas, cuma sedikit kelas kedua bawah serta tiada langsung kelas ketiga.
“Kualiti graduan ini, kita percaya hasil daripada pembangunan karakter di samping akademik dan kecemerlangan ditunjukkan dalam khidmat komuniti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen AIU Keempat di sini.
Mohd. Saleh berkata, AIU turut memperoleh beberapa pencapaian yang signifikan termasuk Affiliating Institution Award for 3Zero Clubs tahun ini yang memberi nilai tambah kepada pencapaiannya di peringkat antarabangsa.