Peniaga rugi RM600,000 terpedaya sindiket penipuan menyamar wakil TNB, polis - Utusan Malaysia

Peniaga rugi RM600,000 terpedaya sindiket penipuan menyamar wakil TNB, polis

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM600,000 selepas terpedaya dengan helah ahli sindiket yang menyamar sebagai wakil dari pejabat Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan pegawai polis. 

Lelaki malang berusia 31 tahun itu terpedaya dengan taktik ahli sindiket terbabit yang mengaitkan mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pada pukul 11.17 pagi tadi, kaunter aduan Balai Polis Mantin telah menerima aduan dari seorang lelaki tempatan yang menyatakan telah menerima panggilan telefon dari individu yang menyamar sebagai wakil dari pejabat TNB berkenaan premis yang kononnya berdaftar atas nama pengadu pada 21 November lalu.

Jelasnya, panggilan itu kemudian kononnya telah dipindahkan ke Bukit Aman dan pengadu dimaklumkan bahawa akaun miliknya telah digunakan untuk penggubahan wang haram.

“Pengadu kemudian telah memindahkan wang ke dalam 11 akaun yang diberikan oleh suspek untuk tujuan pengesahan kewangan yang disiasat atas pengadu melalui 14 transaksi dengan jumlah RM655,000.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan Abdul Malik berkata, seorang jururawat berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila terjerat dengan skim pelaburan saham tidak wujud dan menjanjikan pulangan lumayan. 

Katanya, wanita berusia 49 tahun dan bekerja di Madinah, Arab Saudi itu mendakwa telah melihat satu iklan di aplikasi Facebook yang menawarkan skim pelaburan saham bernama DKCM pada 4 November lalu. 

“Mangsa telah berminat untuk melabur dalam sistem saham tersebut dan telah dihubungi oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pihak DKCM tersebut. 

“Selepas bersetuju dengan penerangan diberi berkenaan skim pelaburan saham tersebut mangsa telah memindahkan wang ke dalam lima akaun yang diberi melalui 13 transaksi dengan jumlah RM304,500. 

“Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, mangsa menyedari telah ditipu selepas WhatsApp telah disekat dan mangsa tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan,” katanya lagi yang memberitahu kertas siasatan juga dibuka di bawah seksyen yang sama.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya