BESUT: Sepasang suami isteri hilang punca pendapatan utama selepas gerai ikan celup tepung diusahakan mereka di Pantai Teluk Bayu, di sini, roboh ekoran fenomena air pasang besar dan hujan lebat, kelmarin.
Hakisan itu turut mengakibatkan barang-barang perniagaan mereka rosak dan sebahagian besar dihanyutkan ombak.
Azlieya Rosli, 30, berkata, kejadian itu menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan utama dan perlu bergantung dengan kadar upah sebanyak RM20 hingga RM25 hasil daripada kerja sambilan dilakukan suaminya, Abd. Rahman Mat, 41, untuk meneruskan kehidupan.
“Hakisan yang berlaku dalam tempoh satu malam menyebabkan kedai tempat saya mencari rezeki musnah sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Pantai Teluk Bayu, di sini, semalam.
Menurut Azlieya, kejadian itu ibarat dugaan berganda buat mereka kerana hakisan pantai yang berlaku dua minggu lalu mengakibatkan ruang hadapan gerainya runtuh.
Katanya, hakisan itu turut menjejaskan lima lagi gerai lain di kawasan sama yang mana tanah di bahagian bawah gerai terhakis dan hanya menunggu untuk roboh.
“Sepanjang dua tahun saya berniaga di sini, ini adalah kejadian hakisan paling teruk dan ia dipercayai berlaku disebabkan kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak kira-kira dua kilometer dari kawasan ini.
“Sekarang jarak pantai dengan sisa kedai hanyalah tinggal kurang 10 meter, Jika air pasang besar melanda dalam tempoh beberapa hari ini, tidak mustahil kedai saya hilang dibawa arus,” katanya.
Kata ibu kepada lima cahaya mata itu, dia dan suami perlu bangkit dan terpaksa mencari kedai baharu untuk memulakan perniagaannya.