PASIR MAS: Seorang pengurus gudang sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan barangan kawalan iaitu 2.41 tan minyak masak dan 480 kilogram (kg) gula ke premis yang tidak dilesenkan pada Januari lalu.
Muhamad Hilmi Mohamad Ashari, 35, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, OKS yang merupakan pegawai pengurus gudang sebuah pasar raya didakwa telah memindahkan barangan kawalan iaitu minyak masak seberat 2,411 kg dan 480 kg gula pasir kasar tanpa kebenaran sah.
Muhamad Hilmi dituduh memindahkan barangan itu dari premis yang dinyatakan dalam lesen di Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu ke alamat tidak dinyatakan dalam lesen iaitu di Kampung Lubuk Tapah, Lati di sini.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Lubuk Tapah, Lati di sini kira-kira pukul 9 malam pada 14 Januari lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, sabit kesalahan OKS boleh didenda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Sophian Zakaria dan Muhammad Hakiim Izani manakala OKS tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Sophian mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu OKS perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri setiap sebulan sekali di pejabat KPDN dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Menurutnya, syarat terbabit ditetapkan memandangkan OKS dipertanggungjawabkan untuk menguruskan barangan berkenaan, namun telah melakukan kegiatan mengaibkan dan menyimpan barangan kawalan terbabit di tempat lain.
“OKS sepatutnya menjalankan amanah dengan mematuhi peraturan, namun harapkan pagar, pagar makan padi. Demi kepentingan awam, saya cadangkan jaminan dengan syarat berkenaan,” katanya.
OKS dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan memandangkan dia menanggung adik-beradik yang masih bersekolah selain kawasan kedai seliannya itu turut mengalami kerosakan akibat banjir November lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM 20,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 3 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
OKS kemudian membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.-UTUSAN