KUALA LUMPUR: Cadangan berkaitan kumpulan berpendapatan T15 sedang diperhalusi sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beberapa cadangan akan dinilai sebelum sebarang keputusan dibuat jemaah menteri.
Jelasnya lagi sehingga kini, pengkelasan hanya berdasarkan pendapatan kasar iaitu B40, M40 dan T20.
“Cadangan berkaitan kumpulan pendapatan T15 sedang diperhalusi dan perlu diangkat untuk diputuskan jemaah menteri dalam masa terdekat.
“Ada beberapa cadangan yang diangkat, sekiranya konsep dan pengkelasan T15 dipersetujui kerajaan, maka pengkelasan tersebut akan diguna pakai kerajaan,” jelasnya ketika menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad di Dewan Negara, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi turut berkata, bagi memastikan pengukuran dan penyasaran lebih inklusif dan adil berkaitan subsidi kepada rakyat, pengkelasan baharu perlu dibuat mengikut pendapatan boleh guna bersih setiap isi rumah.
“Pengkelasan T15 dicadangkan beralih daripada pendekatan berdasarkan pendapatan kasar B40,M40 dan T20 kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih bagi memastikan pengukuran dan penyasaran lebih inklusif dan adil.
“Definisi dan mekanisme pengkelasan T15, berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem PADU dengan mengambil kira perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW),” katanya.
Tambahnya, PAKW itu merujuk kepada amaun perbelanjaan diperlukan isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar dalam memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.