PADANG BESAR: Penanaman nanas jenis MD2 secara komersial dan besar-besaran di Perlis dijangka bermula awal tahun depan di kawasan tanah seluas kira-kira 40 hektar di FGV Chuping di sini bakal membawa pulangan hasil sehingga RM5.4 juta sekali tuaian.
Tanaman yang bakal diusahakan syarikat Bio Green Power Sdn Bhd itu membabitkan 1.6 juta pokok nanas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, projek ladang nanas itu diyakini mampu menjadi salah satu pemacu pertanian moden di negeri ini.
Katanya, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, ia juga mampu menyumbang kepada pendapatan negeri.
“Tanaman tersebut adalah secara komersial dan besar-besaran yang dilaksanakan di negeri ini. Sekali tuaian adalah dalam tempoh 14 hingga 16 bulan yang mampu menjana hasil sehingga RM5.4 juta.
“Alhamdulillah, saya juga berkesempatan melawat tapak ladang nanas Bio Green Power Sdn Bhd ini dan kehadiran syarikat itu untuk mengusahakan tanaman di sini membuktikan potensi besar sektor agro di Perlis,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Razali berkata, penggunaan infrastruktur moden di ladang tersebut juga akan memastikan operasi berjalan dengan lebih cekap sekali gus memaksimumkan hasil.
Katanya, pengeluaran nanas tersebut kelak adalah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Kejayaan projek ini kelak bukan sahaja memberi manfaat ekonomi tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis khususnya dalam sektor pertanian berteknologi tinggi.
“Ladang yang dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat itu juga bakal menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri serta memajukan industri pertanian mampan di Perlis,” katanya.-UTUSAN