KANGAR: Pemuda Pas Perlis bersama enam badan bukan kerajaan (NGO) membuat tujuh laporan polis ke atas dua pemimpin DAP yang didakwa cuba menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Laporan berkenaan dibuat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini, hari ini.
Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun berkata, pihaknya membuat laporan berkenaan atas dasar menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini susulan tindakan pemimpin DAP berkenaan dan bukan disebabkan oleh faktor politik.
“Laporan ini adalah bertujuan untuk memastikan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini terjaga di samping menghalang pihak tertentu mencampuri urusan agama Islam.
“Jangan ada pihak cuba sentuh isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) khususnya dengan menormalisasikan sambutan perayaan kaum lain dalam kalangan umat Islam,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, antara NGO yang terlibat membuat laporan polis berkenaan terdiri daripada Pertubuhan Badan Amal Ilmu Harmoni Ukhawah Malaysia, Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Kebajikan Gerak Bakti (PKGB), Majlis Pakatan Amal Bersatu (MPAB) dan Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (Bahtera Perlis).
Sebelum ini, Kor Ming didakwa cuba menimbulkan polemik apabila menganjurkan sambutan Krismas di premis KPKT dengan turut melibatkan kakitangan beragama Islam.
Selain itu, Utusan Malaysia turut melaporkan beberapa NGO sebelum ini tampil membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah Yeoh, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Badan Amal Ilmu Harmoni Ukhawah Malaysia cawangan Perlis, Abd Agfarnizar Abdul Wahab berkata, pengakuan Hannah di dalam buku berkenaan sebelum ini adalah merbahaya dan mengancam keselamatan negara.
Tambahnya, tindakan Hannah itu juga dilihat seperti telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pemimpin dan mampu mengancam masa depan umat Islam di negara ini.
“Disebabkan itu, kami tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan atas cubaan dilakukan pihak terlibat yang cuba menyentuh sensitiviti umat Islam negara ini,” katanya.-UTUSAN