Pemuda hilang di laut: Ibu mimpi anak dan rakan selamat

Pemuda hilang di laut: Ibu mimpi anak dan rakan selamat

HANITA Ismail dan suaminya, Ismail Ibrahim, masih berharap anak mereka Muhammad Ikmal Hakimi, 22, yang hilang di laut sejak Selasa lalu dijumpai dengan selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Lima hari telah berlalu sejak Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, hilang di laut, namun, ibunya Hanita Ismail, 47, mempunyai firasat bahawa anak lelakinya itu masih hidup.

Hanita berkata, nalurinya kuat merasakan bahawa anak lelakinya itu yang merupakan anak keempat daripada lima beradik berada di satu kawasan yang selamat.

Katanya, dia juga bermimpi semalam bahawa Muhammad Ikmal serta rakannya Nor Hasrul Abdullah, berada di dalam pondok di satu kawasan di tepi laut.

“Memang kita tidak boleh percayakan mimpi, tetapi firasat dan naluri saya sebagai ibu kuat merasakan bahawa anak saya masih hidup.

“Hati saya merasakan dia masih ada, cuma lokasinya kita tidak tahu. Apapun, kami berharap agar mereka dijumpai dengan selamat,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kuala Sungai Pinang di sini, hari ini.

Dua pemuda itu iaitu Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25, sebelum ini dilaporkan hilang selepas bot yang  mereka naiki hanyut dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, Selasa lalu.

Dalam pada itu, Hanita berkata, anak lelakinya itu yang sebelum ini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) baharu sahaja berjinak-jinak dengan aktiviti di laut pada awal bulan ini.

“Saya memang tidak benarkan dia turun ke laut kerana kita tahu laut ada bahayanya. Tetapi, dia tetap turun juga.

“Dia juga ada menghubungi saya menerusi WhatsApp pada Isnin lalu iaitu kira-kira pukul 7.58 malam dan memberitahu bahawa bot mereka dibadai ribut

“Saya ada tanya dia kenapa tidak balik lagi, malah, saya pun cuba telefon dia pada Selasa lalu namun tiada jawapan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Nor Hasrul Abdullah, Noor Azilah Jamaluddin, 44, pula berkata, dia ingin melihat anaknya pulang ke pangkuan mereka dengan selamat, namun, tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Saya reda, tetapi saya mahu lihat dia di depan mata saya. Saya harap dia pulang dengan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya