Pembahagian kerusi sama rata kukuh kerjasama BN-PH di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Pembahagian kerusi sama rata kukuh kerjasama BN-PH di Negeri Sembilan

JALALUDDIN Alias beramah mesra dengan penerima pada Majlis Penyerahan Surat Penerimaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu Bagi Negeri Sembilan 2024 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembahagian kerusi sama rata di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan adalah wajar bagi memastikan kekuatan Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pembahagian tersebut juga sekali gus dapat memberikan lebih keyakinan kepada pemimpin serta rakyat di peringkat akar umbi untuk memberikan sokongan kepada kedua-dua parti ini.

‘Ia atas asas kita ada dua parti besar iaitu PH dan BN, ia merupakan pengiktirafan Kerjasama yang baik di antara BN an PH. Ia berikan keyakinan kepada rakyat untuk kepimpinan total, ini hasrat saya supaya mempunyai keadilan dan suatu kefahaman sangat tinggi berbanding tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Penerimaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu Bagi Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.

Pada program itu, seramai 58 daripada 62 individu menerima surat penerimaan bina rumah baharu di bawah skim PPRS di Negeri Sembilan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 juta.

Media sebelum ini melaporkan, Jalaluddin pada Konvensyen BN Negeri Sembilan baru-baru ini menyuarakan harapan rundingan kerusi antara BN dan PH akan membawa kepada pembahagian kerusi sama rata pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga menyuarakan pandangan bahawa BN tidak mampu untuk bergerak solo bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang mengambil kira situasi semasa sebaliknya perlu bekerjasama dengan PH.

Sambil itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu menjelaskan, penegasan untuk tidak bergerak solo itu bukanlah menunjukkan UMNO dan BN tidak yakin untuk menang.

“Tidak timbul soal UMNO atau BN kurang yakin untuk menang, sebaliknya ini menunjukkan persefahaman BN-PH  sekali gus memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO sudah biasa bertanding sebagai parti tunggal BN dalam menghadapi 12 kali pilihan raya, tiada masalah.  Kita boleh menghadapi pilihan raya secara solo tetapi keadaan suasana politik sekarang berubah, bukan soal yakin atau tidak, ini soal menghormati kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya