PETALING JAYA: Seorang pemandu maut rentung selepas kereta dipandunya terbakar akibat melanggar tiang Transit Aliran Ringan (LRT), di sini hari ini.
Kejadian itu berlaku pada pukul 6.20 pagi di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur membabitkan sebuah kereta jenis Honda Accord.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai hilang kawalan, seterusnya terbabas melanggar tiang LRT dan menyebabkan kenderaan itu terbakar.
“Mangsa di dalam kereta tersebut rentung dan disahkan maut di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan polis masih mengenal pasti identiti pemandu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka semasa kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” ujarnya.