RANTAU PANJANG: Seorang pemandu lori dicekup semasa membawa 435 unit beg tangan dipercayai tiruan pelbagai jenama bernilai RM435,000 yang diseludup dari Thailand di hadapan sebuah stesen minyak di sini semalam.
Suspek berusia 34 tahun ditahan oleh sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan pada pukul 6.30 petang selepas dikesan memandu lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori itu membawa kepada penemuan beberapa kotak mengandungi 435 unit beg tangan pelbagai jenama dipercayai tiruan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua barangan tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah.
“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beg tangan tiruan tersebut ke pasaran tempatan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM435,000,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, suspek dan barang rampasan diserahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN