PETALING JAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkukuhkan tindakan dan kawalan lebih baik sebagai pencegahan awal dengan meminda Akta 118 bagi menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap pemaju atau Ahli Lembaga Pengarah yang disenaraihitamkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pindaan itu merupakan satu tindakan jangka panjang bagi mengelakkan projek perumahan swasta menjadi projek sakit dan seterusnya terbengkalai.
Katanya, selain menguatkuasakan sekatan perjalanan, pihaknya juga sedang memperhalusi untuk menyediakan definisi dan peruntukan perundangan khusus bagi pelikuidasi supaya dapat menjelaskan dengan terperinci peranan serta tanggungjawab pelikuidasi yang mengambil alih projek perumahan swasta terbengkalai.
“KPKT telah melaksanakan tindakan proaktif dan bersasar melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang telah ditubuhkan sejak Disember 2022.
“Sehingga 30 September lalu, sebanyak 14 projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan 1,901 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM574.79 juta telah Berjaya dipulihkan atau dilaksanakan penyelesaian di bawah pemantauan TFST.
“Pencapaian ini menunjukkan keberkesanan dalam pelaksanaan polisi sedia ada bagi melengkapi perundangan serta peraturan berkaitan.
“Justeru, KPKT akan terus mengambil tindakan penambahbaikan supaya dapat mengurangkan projek sakit atau terbengkalai ke arah mencapai sasaran sifar projek sakit menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN – Rompin) yang bertanyakan sama ada polisi dan undang-undang sedia ada mampu menangani isu projek terbengkalai.
Kor Ming berkata, KPKT sentiasa komited dalam memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang berkualiti dan berdaya huni.
Dalam masa yang sama, katanya, KPKT sentiasa berusaha mencari penyelesaian bagi meringankan beban pembeli yang terkesan dengan projek perumahan swasta yang
diisytiharkan terbengkalai.
“Secara definisi, projek terbengkalai adalah projek pemajuan perumahan yang tidak siap dalam atau luar tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB) dan tiada sebarang aktiviti yang ketara di tapak pembinaan selama enam bulan secara berterusan; dan disahkan projek terbengkalai oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Seksyen 11 (1) (ca) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].
“Setelah sesuatu projek perumahan swasta disahkan sebagai projek terbengkalai, KPKT akan membantu memudah cara dan melaksanakan mediasi dengan pihak-pihak berkepentingan dalam usaha mencari jalan penyelesaian dan hala tuju pemulihan projek,” katanya.