KANGAR: Pasukan dari Perlis mencipta sensasi menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam kelas M11 (1,800 hingga 2,000 cc) dan 2WD sempena Rally of Asahan 2024 yang berlangsung 21 sehingga 22 Disember lalu di Asahan, Jasin, Melaka.
Azrul Azhar Norbakari dan juruarah, Muhamad Firdaus Musa yang hanya memandu Proton Satria 1.8 liter NA pacuan roda hadapan juga muncul johan kategori class 2wd dan 1800cc.
Perlumbaan bersempena pusingan kedua Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC) tahun ini membabitkan laluan di permukaan batu kerikil dan tanah liat di Nyalas Estate dan Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh yang cukup mencabar.
Dalam pada itu, di usia 62 tahun, jaguh rali negara, Karamjit Singh terus membuktikan kemampuan dan kehebatan apabila muncul juara dengan memenangi Rally of Asahan 2024 itu.
Menariknya lagi, Rally of Asahan 2024 itu juga berjaya menarik penyertaan pelumba dari luar negara.
Pelumba wanita dari India, Nikeeta Takkale bersama juruarah, Musa Sherrif berjaya menamatkan rali kali ini di tempat ke-10 secara keseluruhan dengan memandu Proton Satria Neo pasukan MRU Motorsports.
Pasukan AA Motorsports Rally Team yang mewakili Perlis ke pertandingan berkenaan juga membantu mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024/2025.-UTUSAN