KUALA LUMPUR: Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, hari ini diharap dapat membawa nilai positif kepada keseluruhan rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada Musa yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Sabah itu atas pelantikannya yang berkuat kuasa bermula 1 Januari 2025.
“Semoga pelantikan ini membawa lebih banyak kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Negeri Sabah, dan melimpah ruah ke seluruh negara jua. Saya mendoakan agar Tun sentiasa diberikan petunjuk, hidayah serta kekuatan dalam menjalankan amanah yang diberikan dengan cemerlang.
“Selamat maju jaya dalam menerajui kepimpinan negeri Sabah dan semoga Allah SWT sentiasa merahmati perjalanan Tun hendaknya. Insya-Allah,” katanya melalui hantaran dalam media sosial, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.
Pada istiadat sama, Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Istiadat tersebut turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.