ALOR GAJAH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan sewaktu Melaka menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) pada September tahun depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam aspek keselamatan dan sedia membantu kerajaan negeri untuk menugaskan pegawai dan anggota sepanjang berlangsungnya sambutan berkenaan.
“Insya-Allah kita akan membantu sepenuhnya kerajaan negeri menjaga keselamatan sepanjang sambutan itu berlangsung, sekiranya ada program-program yang memerlukan khidmat polis,” katanya ketika ditemui pada Program Kerajaan Negeri bersama PDRM di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini, hari ini.
Tambah Razarudin, PDRM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menyediakan Wisma Amanah, Batu Berendam sebagai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang baharu.
Jelasnya, pejabat sementara itu lebih selesa dan kondusif buat pegawai dan anggota bekerja berbanding pejabat lama yang sudah berusia lebih 100 tahun.
Dalam pada itu, Razaruddin dan Ab. Rauf meluangkan masa hampir satu jam pada program ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga bekas anggota polis di sekitar Masjid Tanah. – UTUSAN