PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu sindiket penipuan pelaburan mata wang Forex rentas sempadan didalangi beberapa individu warga tempatan dan Indonesia membabitkan kerugian RM11,990,768 sejak awal tahun ini selepas menerima 51 laporan berhubung kes berkenaan.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket berkenaan dikesan menggunakan satu syarikat beralamat di Indonesia sebagai broker yang menguruskan transaksi kewangan.
Kata beliau, dua syarikat lain turut dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka kepada pelabur.
“Sehingga kini, dua individu iaitu seorang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dengan skim itu telah ditahan secara berasingan pada 9 September dan 25 Oktober lalu.
“Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru itu, beliau berkata, individu yang telah menjadi mangsa sindiket itu dinasihatkan untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran.
Kata Ramli, orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal Semakmule CCIS, Alert List Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” jelasnya.