TANGKAK: Kegiatan pasangan kekasih ditahan kerana disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 17 kes pecah rumah di sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd.Talib berkata, pasangan berusia 25 dan 44 tahun itu ditahan di sebuah rumah sewa di sini pada pukul 7.15 petang, 10 Disember lalu.
“Susulan penahanan suspek, polis turut merampas pelbagai barangan, antaranya resit jualan barang kemas, wang tunai RM11,795, surat pajak gadai rantai emas, resit pembelian motosikal dan penyata Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
“Siasatan awal mendapati pasangan ini aktif melakukan jenayah itu tanpa mengira waktu, khususnya ketika penghuni tiada di kediaman. Pasangan ini juga mempunyai 17 rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan curi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tangkak, Asisten Superintenden Noor Safarul Aswad.
Roslan berkata, pasangan tersebut memanjat tiang sebelum memasuki bahagian bumbung kediaman mangsa dan melarikan wang tunai serta barangan berharga.
Pasangan itu kini ditahan reman selama lapan hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN