Parkir di Perlis bakal guna aplikasi pintar - Utusan Malaysia

Parkir di Perlis bakal guna aplikasi pintar

SISTEM parkir di negeri ini terutama di Kangar akan dilaksanakan menggunakan sistem parkir pintar menerusi aplikasi di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sistem parkir di negeri ini terutama di Kangar akan dilaksanakan menggunakan sistem parkir pintar menerusi aplikasi bermula Januari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Affendi Rajini Kanth berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha dilaksanakan MPK bagi membawa negeri ini menuju ke arah bandar pintar.

“Dengan aplikasi ini, pengguna akan membayar caj parkir menerusi aplikasi di mana apabila mereka masuk ke kotak disediakan, palang di bahagian belakang akan turut naik.

“Dan sewaktu ingin keluar, mereka perlu membayar menerusi aplikasi terlebih dahulu dan barulah palang itu akan turun semula,” katanya.

Tambah Affendi, untuk peringkat permulaan, pihaknya juga akan melaksanakan tempoh percubaan terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Katanya, MPK akan menguruskan kira-kira 8,500 lot parkir untuk pelaksanaan inisatif itu peringkat awal di sekitar kawasan Kangar.

“Saya melihat MPK mungkin akan menguruskan kira-kira 10,000 lot parkir atau lebih sekiranya pelaksanaan ini diperluas seluruh Perlis. Untuk pelaksanaan ini, MPK tidak menanggung sebarang kos dan ia ditanggung oleh pembekal perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Affendi berkata, pihaknya juga cuba memastikan aplikasi itu dibangunkan secara mesra pengguna bagi memudahkan orang ramai.

Katanya, syarikat terlibat juga akan menyediakan kakitangan bagi membantu memberi panduan kepada orang ramai di lokasi ditetapkan.

“Kita faham mungkin ada orang berusia yang akan berdepan masalah apabila menggunakan aplikasi ini, namun jumlah itu adalah sangat sedikit. Malah dari masa ke semasa, kita cuba lakukan penambahbaikan dengan sebaiknya untuk memudahkan semua. Selain boleh membayar parkir, aplikasi itu juga dapat membuat pembayaran saman, cukai pintu dan digunakan seluruh Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya