Pahang terima RM2 juta bangun industri durian tahun ini - Utusan Malaysia

Pahang terima RM2 juta bangun industri durian tahun ini

MOHD. SOFFI ABD RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang menerima peruntukan RM2 juta tahun ini bagi pembangunan industri durian di negeri ini termasuk pemberian input tanaman raja buat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan pendidikan negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, Pusat Pemprosesan Durian di negeri ini juga sudah meningkat kepada 20 buah melibatkan daerah Bentong, Raub dan Jerantut.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah meluluskan 30 projek durian melibatkan kawasan seluas 3016.54 hektar di tanah Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

“Di Bentong, kita ada tujuh projek melibatkan keluasan tanah 277.68  hektar, di Kuantan ada tiga projek (546.32 hektar), di Lipis kita ada enam projekb(681.07 hektar), di Maran ada satu projek (16.6 hektar), di Raub ada sembilan projek (1152.66 hektar) dan di Temerloh ada empat projek melibatkan 342.1 hektar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (DAP-Ketari) pada sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini.

Tambah Mohd. Soffi, kerajaan Pahang melalui Jabatan Pertanian Negeri sudah berperanan dalam memperkasa industri durian di negeri ini dengan melaksanakan beberapa program terpilih.

“Antaranya Program Pengembangan Teknologi, bantuan khidmat nasihat secara teknikal, perundingan seperti pembukaan kawasan, pemilihan varieti yang berkualiti, kesesuaian tanah, kaedah pembajaan, kawalan penyakit dan perosak, pensijilan MyGap (Amalan Pertanian Baik), program lepas tuai, laluan pasaran dan penghasilan produk industri hiliran.

“Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga turut membantu pengusaha durian mengeluarkan hasil yang berkualiti melalui amalan pertanian yang baik sehingga memperoleh pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) bagi memudahkan pengeksportan durian Musang King ke negara luar terutama negara China.

“Selain itu, sesi bengkel dan libat urus bersama pengusaha-pengusaha tanaman durian negeri Pahang dan pemain-pemain industri juga turut dilaksanakan bagi mengenalpasti masalah, penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dan latihan atau bantuan yang boleh diberikan kepada pengusaha durian di negeri Pahang,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan yang dikemukan Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (ADUN Lantikan) berkenaan menjadikan Pahang sebagai hub pengeluaran durian negara, beliau berkata, kerajaan negeri memang berhasrat menjadikan Pahang sebagai hub pengeluaran produk premium termasuk durian Musang King. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN