Padah setahun jual aksesori wanita tiruan

Padah setahun jual aksesori wanita tiruan

Aksesori tiruan
PASUKAN penguat kuasa KPDN memeriksa aksesori wanita di premis itu di Klang, Selangor semalam. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegiatan enam kedai menjual aksesori wanita disyaki tiruan di sebuah pasar raya terkemuka di sini, sejak setahun lalu tumpas selepas digempur pihak berkuasa semalam.

Kesemua premis itu dikesan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor apabila menjual pelbagai barangan perhiasan diri secara terbuka seperti gelang, rantai, anting-anting dan pengikat rambut.

Pengarah KPDN negeri, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan menerusi Operasi (Op) Gempur, kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat berkaitan penjualan barangan yang menggunakan cap dagang tidak sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua aksesori wanita itu disyaki tiruan. Serbuan ke atas enam lot kedai itu membawa kepada rampasan sebanyak 6,059 unit pelbagai barangan.

“Kesemua barangan itu disita bagi siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM20,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Dalam pada itu, Mohd. Zuhairi memberitahu, pihaknya turut menyerbu sebuah rumah di Serendah, Kuala Kubu Bharu yang menyimpan beg jenama tiruan untuk jualan di aplikasi Tiktok.

“Siasatan mendapati peniaga itu disyaki menjual barangan berkenaan dengan harga murah secara atas talian.

“Sebanyak 500 unit beg tangan pelbagai jenama dirampas dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM17,000,” ujarnya.

Tambah Mohd. Zuhairi, serbuan serentak di kedua-dua lokasi itu memberi isyarat kepada peniaga supaya menjalankan perniagaan secara beretika sama ada perniagaan secara premis terbuka, tertutup atau platform atas talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya