BALIK PULAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari dua pemuda yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang sejak Selasa lalu telah dihentikan hari ini selepas lima hari dijalankan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, sepanjang lima hari itu, operasi berkenaan telah meliputi sehingga 4,802 batu nautika bersamaan 8,884 kilometer (km) persegi, namun, sehingga kini tiada sebarang petunjuk dijumpai.
“Semua elemen dan aset daripada agensi-agensi terlibat antaranya dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Udara Maritim dan bot telah digunakan.
“Selain itu, kita juga mendapat bantuan daripada nelayan dari Kuala Sungai Pinang dan Teluk Bahang, namun, tiada sebarang petunjuk dijumpai. Jadi, kita putuskan untuk menamatkan operasi SAR pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di jeti Kuala Sungai Pinang di sini, hari ini.
Menurut Sazalee, secara keseluruhannya, operasi SAR tersebut disertai seramai 90 pegawai dan anggota daripada polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.
“Sepanjang lima hari ini, operasi SAR berjalan dengan lancar berikutan keadaan cuaca yang baik. Tiada halangan cuaca atau ombak mahu pun ribut sepanjang operasi dijalankan,” katanya yang memaklumkan, bot yang digunakan oleh mangsa pula telah disewa daripada orang persendirian dan tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan nelayan.
Kata beliau, walaupun operasi SAR telah dihentikan, namun, pihak Maritim Malaysia akan terus menjalankan pencarian kedua-dua mangsa tersebut menerusi rondaan rutin mereka.
“Usaha-usaha mencari akan diteruskan oleh Maritim Malaysia dengan bantuan nelayan, dengan harapan mangsa dapat ditemui. Kita percaya, kedua-dua mangsa yang menaiki bot itu dipercayai dihanyutkan oleh arus deras ke sebelah utara,” katanya.
Tambah Sazalee, pihak polis juga mungkin mendapatkan bantuan daripada negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia untuk mengesan mangsa selepas ini.
“Setakat ini, kita memang tak jumpa sebarang petunjuk. Jika bot karam atau pecah, pasti ada serpihan tetapi tiada. Kita percaya, mungkin bot dinaiki mereka hanyut lebih jauh,” katanya. – UTUSAN