MELAKA: Dua anak pasangan Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32, yang maut akibat nahas mambabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, kelmarin masih belum mengetahui bahawa ibu, bapa, adik, datuk serta nenek mereka telah meninggal dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, setakat ini ahli keluarga yang menjaga Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, dan Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, di Hospital Melaka masih belum bercerita berita duka itu.
“Meskipun kedua-dua kanak-kanak itu sudah sedar, namun ahli keluarga mereka masih tidak sampai hati untuk memaklumkan tentang apa yang terjadi memandangkan mereka masih mendapatkan rawatan.
“Ahli keluarga enggan beritahu perkara sebenar bimbang kedua-dua beradik itu akan beremosi. Saya juga tidak pasti sama ada kedua-dua beradik itu ada bertanyakan mengenai ibu bapa mereka.
“Saya juga berpendapat buat masa ini biar kedua-dua kanak-kanak tersebut mendapat rawatan sehingga pulih dan selepas itu baru ahli keluarga boleh beritahu perkara yang sebenar,” katanya ketika ditemui selepas melawat kedua-dua mangsa di Hospital Melaka, hari ini.
Jenazah lima sekeluarga itu selamat dikebumikan pada pukul 7.45 malam semalam di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), Selangor.
Jenazah Fadzlenna dan anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, ditempatkan dalam satu liang lahad manakala Khairul Ikhwan serta ibu dan bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab. Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69, dikebumikan dalam tiga liang lahad berasingan.
Tambah Hee Sem, setakat ini Nur Sofea Humaira telah menjalani pembedahan di tulang paha kiri, keadaannya dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di wad biasa.
“Muhammad Uwais Al-Qarni pula yang tulang paha kanan hancur akan menjalani pembedahan lewat petang ini termasuk kecederaan di kepala masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Pemandu lori Nissan, Mohamad Syafiq Mohd. Zuki, 27, pula masih berada dalam keadaan kritikal di ICU.
“Sepatutnya dia menjalani pembedahan hari ini tetapi hasil pemerhatian doktor, disebabkan keadaannya yang masih tidak stabil dia tidak dapat menjalani pembedahan itu,” ujarnya. – UTUSAN