Nooryana Najwa sifatkan pembebasan ibu satu keadilan

Nooryana Najwa sifatkan pembebasan ibu satu keadilan

NOORJAYA Najwa Najib (kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir di Kampung Kandis, Pasir Puteh, Kelantan hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Anak kepada bekas Perdana Menteri keenam, Nooryana Najwa menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepaskan dan membebaskan ibunya Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan berkait pengubahan wang haram dan elak cukai sebagai satu tindakan adil.

Nooryana Najwa Najib berkata, proses tersebut secara tidak langsung membersihkan semua nama baik ibu selepas berdepan pelbagai tuduhan sebelum ini.

“Saya mendapat tahu khabar gembira ini daripada ahli keluarga terdekat dan belum membaca berita serta keputusan penuh yang telah dibuat oleh hakim.

“Ketika ini saya berada di Kelantan dalam misi membantu mereka yang terkesan pasca banjir. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami, seluruh penyokong tegar Bossku (Datuk Seri Najib Razak).

“Mereka adalah inspirasi kepada ibu bapa saya untuk terus berjuang membersih nama yang tercalar,” katanya Ketika ditemui ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Kandis, di sini hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Rosmah daripada 17 pertuduhan berkait pengubahan wang haram dan elak cukai.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan yang dikenakan terhadap Rosmah tidak menyatakan secara lengkap kesalahan yang dilakukan.

“Tanpa perincian mengenai kesalahan yang dilakukan, apa yang tinggal ialah tindakan mendepositkan wang ke dalam akaun yang mana bukanlah sesuatu yang salah di sisi undang-undang,” katanya.

Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos lalu dan dua orang saksi telah dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan terhenti selepas Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan pada 6 September 2023.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Hukuman bagi kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan elak cukai itu ialah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya