BAGAN DATUK: Nelayan darat di Kampung Tebing Rebak di sini merayu pihak berkenaan memperbaiki sebuah jeti lama yang kini sudah patah di bahagian tengah dan tidak selamat untuk digunakan.
Penduduk berkata, jeti tersebut patah baru-baru ini kerana sudah terlalu lama dibina, dianggarkan lebih 60 tahun.
Nelayan darat di sini, Sahak Abu Hassan, 56, berkata, keadaan jeti nelayan itu sebelum ini terlalu daif kerana dibina menggunakan kayu sehingga sudah kerap kali diperbaiki.
Katanya, lantai jeti dibina menggunakan simen tetapi tiangnya masih menggunakan kayu menyebabkan lantai jeti kecil itu mudah patah,
“Jeti ini walaupun kecil namun merupakan jeti penting untuk nelayan mendaratkan hasil tangkapan nelayan darat di sekitar kampung itu.
“Jeti ini sudah patah pada bahagian lantai tengah dan tidak selamat digunakan. Jika dibiarkan, lama kelamaan jeti ini boleh roboh.
“Keadaan ini sudah tentu membahayakan kepada nelayan darat yang menggunakan jeti ini apatah lagi sekarang ombak sungai agak kuat malah ada bahagian pada jeti ini seperti tangga yang dihanyutkan arus deras semasa fenomena air pasang besar baru-baru ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, keadaan jeti itu juga semakin senget dan merbayakan bukan sahaja nelayan tetapi juga kaki pancing yang memancing dari jeti itu.
Jelasnya, walaupun di kampung itu kurang penduduk tapi di Jeti Tebing Rebak sentiasa menjadi tumpuan kaki pancing dari luar yang biasanya datang bersama keluarga untuk memancing udang galah .
“Kami berharap kerajaan membina semula jeti ini dengan bahan yang lebih kukuh seperti batu konkrit supaya ia kukuh dan selamat digunakan.
“Kepada penduduk di sini, jeti itu banyak jasa dan kenangan terutama pada tahun 1950-an kerana jeti ini dijadikan pengkalan untuk menaikan pelbagai hasil kampung dan digunakan murid dari Tanjung Sari di seberang sungai yang menaiki bot ke Sekolah Rendah Tebing Rebak di sini,” katanya.
Sementara itu, kaki pancing dari Sabak Bernam, Selangor, Suharto Abdul Rahman, 56, dia sering memancing udang galah dari jeti tersebut namun sejak lantai jeti tersebut patah, dia tidak berani memancing dari atas jeti tersebut.
Katanya, ramai kaki pancing yang memilih memancing dari jeti tersebut kerana di kawasan itu merupakan lubuk udang.
“Ramai yang suka memancing di sini kerana banyak dapat udang. Tapi sekarang keadaan agak berbahayakan kerana jeti ini sudah patah lantainya dan bila-bila masa sahaja boleh roboh.
“Kami tidak mahu ambil risiko keselamatan namun merugikan kerana kawasan ini sepatutnya boleh menarik kaki pancing dari luar,” katanya. – UTUSAN