NCIA laksana kajian atasi isu alur pelayaran cetek di Kuala Perlis -Izizam - Utusan Malaysia

NCIA laksana kajian atasi isu alur pelayaran cetek di Kuala Perlis -Izizam

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan Persekutuan menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kompleks Terminal Kuala Perlis bagi mengatasi isu alur pelayaran cetek.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Izizam Ibrahim berkata, pada masa ini, NCIA juga telah memohon bagi melaksanakan kerja-kerja awalan di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Katanya, sebagai langkah berkala dalam mengatasi isu berkenaan, sebuah syarikat juga telah dilantik bagi melaksanakan kerja pengerukan di basin dan alur pelayaran Kuala Perlis.

“Pengerukan ini telah bermula pada 1 Ogos lalu dan kerja-kerja berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei tahun hadapan,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Perlis 2025 sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai isu alur pelayaran cetek disebabkan mendapan lumpur dan beting pasir yang mengganggu perkhidmatan feri ke Langkawi.

Biarpun kerja-kerja pengerukan telah selesai dilaksanakan sebelum ini, usaha itu hanya mampu bertahan empat bulan, sebelum isu sama berulang.

Tambah Izizam, terdapat juga kajian penyelesaian yang lebih mampan dalam menangani isu itu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan telah disiapkan pada Februari 2022.

“Hasil daripada kajian ini, terdapat juga beberapa cadangan untuk mengatasi masalah mendapan selut di alur pelayaran dan lembangan jeti penumpang Kuala Perlis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Izizam berkata, operasi feri kini hanya beroperasi ketika air pasang.

Katanya, Jabatan Laut Malaysia juga tidak menghalang operator feri untuk mengatur tambahan kekerapan perjalanan feri dengan syarat pihak berkenaan perlu membuat pemakluman awal terlebih dahulu.

“Operator feri boleh memohon tambahan kekerapan perjalanan sebanyak mungkin tertakluk kepada kesesakan terminal dan labuhan jeti yang ada di Terminal Feri Kuala Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya