SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberikan tambahan sebanyak RM500 dalam Bantuan Khas Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada mahasiswa anak negeri ini bagi kategori ijazah pengkhususan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah baharu yang diterima bermula tahun depan menerusi insentif bantuan kepada anak-anak Negeri Sembilan dengan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah itu adalah sebanyak RM1,500.
Beliau dalam pada itu turut mengumumkan, bermula tahun hadapan juga, Bantuan Sara Hidup untuk mahasiswa anak negeri ini akan dinaikkan kepada RM2,400 setahun.
Oleh itu, insentif bantuan kepada mahasiswa dari keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 itu meningkat sebanyak RM50 iaitu kepada RM200 sebulan berbanding sebanyak RM150 yang diterima sekarang.
Jelas Menteri Besar, keputusan menaikkan insentif yang dikendalikan oleh Yayasan Negeri Sembilan (YNS) itu
selepas mengambil kira sambutan yang menggalakkan selain pelbagai faktor dan keperluan semasa.
“Kita lihat pelajar ketika ini kurang minat untuk mengikuti bidang STEM ini sedangkan peluang yang ada khususnya dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan sains ini amat diperlukan termasuk di Negeri Sembilan.
“Jadi kerajan negeri mahu menggalakkan pelajar untuk ceburi bidang ini malahan pendapatan dalam bidang STEM ini juga meningkat dengan cepat, itu matlamat dan hasrat kami,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, jelas Aminuddin, sejak insentif berkenaan diperkenalkan sehingga November tahun ini, seramai 2,882 orang pelajar telah menerima Bantuan Khas Kemasukan ke IPTA tersebut yang merangkumi RM500 untuk pelajar kategori sijil, RM750 kepada pelajar diploma dan sebanyak RM1,000 kepada pelajar ijazah.
Selain itu, menurut beliau, setakat Disember tahun ini pula, seramai 2,537 pelajar diploma dan ijazah telah menerima Bantuan Sara Hidup bagi mahasiswa anak Negeri Sembilan.-UTUSAN.