MTPNg Kelantan bawa cadangan Depoh Simpanan Keperluan Bencana ikut zon ke kabinet

MTPNg Kelantan bawa cadangan Depoh Simpanan Keperluan Bencana ikut zon ke kabinet

NIK Nazmi Nik Ahmad (kanan) menyantuni mangsa banjir yang berlindung di PPS SK Sri Ketereh, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan akan membawa cadangan membina Depoh Simpanan Keperluan Bencana mengikut zon atau daerah sebagaimana yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke peringkat kabinet.

Pengerusi Bersama Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bagi membolehkan cadangan tersebut dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak untuk direalisasikan.

“Kita tahu Kelantan merupakan negeri paling teruk menerima kesan daripada bencana banjir dan saya fikir kalau kita dapat mengadakan lebih banyak infrastruktur berkenaan, maka ia akan lebih membantu terutama untuk tindakan-tindakan kecemasan.

“Mungkin kita boleh masukkan cadangan ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) atau sebagainya,” katanya kepada pemberita semasa Program Lawatan Tinjauan Bencana Monsun Timur Laut di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini hari ini.

Nik Nazmi memberitahu, perkara tersebut turut dibangkitkan semasa sesi soal jawab Perdana Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen Malaysia, semalam.

Terdahulu, cadangan membina Depoh Simpanan Keperluan Bencana telah dibawa oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Kota Bharu, Azizah Zakaria semasa sesi taklimat sempena program berkenaan.

Azizah ketika ditemui pemberita berkata, permohonan daripada JKM Kelantan itu sudah dimaklumkan kepada Nik Nazmi selpas negeri ini hanya mempunyai satu depoh tersebut di Pengkalan Chepa.

“Masalah utamanya adalah dari segi logistik apabila pengagihan ke kawasan-kawasan yang jauh seperti Kuala Krai dan Gua Musang memakan masa sehingga lebih tiga jam.

“Jadi keberadaan depoh mengikut zon boleh membantu masalah ini apabila pengagihan keperluan bencana boleh dilakukan dengan lebih cepat dan sampai kepada mangsa-mangsa bencana tepat pada masanya,” katanya.

Beliau menjelaskan, kewujudan depoh simpanan di setiap zon atau lebih baik setiap daerah, juga dapat mengatasi kelewatan penghantaran barangan keperluan di kawasan-kawasan yang terputus jalan perhubungan sepertimana berlaku di Tumpat, dekat sini.

“Untuk makluman Depoh Simpanan Keperluan Bencana menempatkan semua keperluan mangsa-mangsa bencana seperti selimut, tikar, tuala, makanan kering seperti beras serta biskut dan sebagainya.

“Ia berfungsi sebagai transit kepada barangan keperluan bencana sebelum dibawa ke pengkalan hadapan utuk diagihkan kepada mangsa-mangsa bencana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan sebagainya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya