KUBANG PASU: Perkhidmatan motosikal tambang yang digelar ‘gojek BKH’ berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini meraih sambutan tinggi terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.
Tinjauan di lokasi itu mendapati, motosikal tambang menjadi pilihan pelancong yang ingin bercuti ke Thailand bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas teruk terutama pada waktu puncak.
Perkhidmatan itu semakin meraih perhatian sejak Kompleks Bebas Cukai, di sini ditutup baru-baru ini sekali gus mengakibatkan kawasan meletak kenderaan di situ turut ditutup untuk mereka yang ingin bercuti ke Thailand.
Menurut seorang daripada penunggang motosikal tambang itu, Ashraf Aziz, 30, dia mampu meraih pendapatan dua hingga tiga kali ganda sejak fenomena Thailand melanda rakyat negara ini.
“Sejak Kompleks Bebas Cukai ditutup semakin ramai guna perkhidmatan kami sebab mereka terpaksa letak kereta di Darul Qiyyam. Untuk elak kesesakan mereka pilih motosikal tambang sahaja sebab di pemeriksaan imigresen pun ada laluan khas untuk kami.
“Nak sewa teksi macam sama juga terpaksa bersesak berjam-jam nak lepas. Jadi banyak guna motosikal tambang sahaja,” katanya ketika ditemui, di sini.
Menurut Ashraf, mereka mengenakan tambang sebanyak RM15 untuk setiap individu dari kompleks perniagaan tersebut ke sempadan Thailand di Danok.
“Sekejap sahaja tidak sampai 10 minit kalau urusan di imigresen lancar. Kalau musim cuti ini mungkin sesak sikit sebab banyak yang guna motosikal tambang seperti Jumaat lepas, terpaksa beratur berpuluh motosikal,” katanya yang sudah 10 tahun bekerja sebagai penunggang motosikal tambang.
Sementara itu, rakannya yang ingin dikenali sebagai Abang Jo, 62, berkata, dia beralih ke bidang itu sejak beberapa minggu lepas berbanding bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini.
“Kerja ini kalau musim cuti memang banyak pelancong yang ambil motosikal kami kadang-kadang tidak menang tangan. Hari-hari biasa lima enam trip tetapi waktu puncak boleh sampai 20 trip sebab orang tidak mahu sangkut dalam kesesakan. Kami ambil pembonceng dari 6 pagi hingga 11 malam.
“Terdapat kira-kira 40 pembawa motosikal tambang di sini dan semua anak-anak muda daripada kawasan sekitar,” katanya.
Menurut seorang pelancong, Zubir Zainuddin, 35, dari Pulau Pinang, dia lebih selesa memilih perkhidmatan motosikal tambang untuk ke Hatyai.
“Kalau bawa kereta mungkin sesak berjam-jam, lagipun saya ke Hatyai dengan kawan-kawan jadi lebih senang guna perkhidmatan ini,” katanya.