PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku sehingga esok melibatkan lima negeri di Semenanjung
Malaysia.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, kawasan-kawasan yang terlibat termasuk Perlis, beberapa daerah di Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu.
“Antara daerah yang dijangka terkesan ialah Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak).
“Selain itu, Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu),” katanya dalam satu kenyataan.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk terus berwaspada dan memantau perkembangan cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mudah alih myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.