RAUB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan pihak berkuasa terlibat diingatkan supaya sentiasa mengemas kini data berkaitan ramalan cuaca dan kejadian banjir yang berlaku dengan lebih kerap.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ini bagi memastikan penduduk di kawasan yang sering terlibat dengan banjir peka dengan situasi semasa.
“Saya ingin mengingatkan berdasarkan pada laporan kaji cuaca kita dijangka akan menghadapi cuaca tidak menentu pertengahan dan hujung bulan ini (Disember).
“Ini bermakna air pasang laut akan meningkat dan kalau hujan diramal lebih lebat bermakna limpahan air dari sungai akan berlaku dan kampung di tepi sungai akan terkena banjir.
“Kita minta data yang tepat dan pihak Meteorologi atau pihak berkuasa perlu mengumumkan secara rasmi kerap sikit. Harap juga semua rakyat dengar laporan yang sah,” titah baginda ketika berangkat bercemar duli menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Lechar di sini hari ini.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Al-Sultan Abdullah bertitah, penduduk yang tinggal di kawasan rendah juga harus bersiap sedia menghadapi cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Baginda turut mendoakan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya yang menjadi mangsa banjir yang akan menghadapi peperiksaan esok agar berjaya dalam pelajaran.
“Saya berdoa calon- calon SPM akan menghadapi ujian peperiksaan esok agar mereka semua berjaya dan dapat memperoleh keputusan yang cemerlang,” titah baginda. – UTUSAN