RANAU: Setiap kali lalu di depan gerai-gerai jualan sayur di Pekan Kundasang pasti akan kedengaran peniaga memanggil pelanggan sambil menyebut ‘sepuluh tiga’.
Bagi masyarakat setempat istilah itu sudah biasa didengari namun, bagi pelancong luar pasti ternyata-nyata apa maksud ‘sepuluh tiga’.
Peniaga sayur, Sudiah Saupin, 63, berkata, istilah ‘sepuluh tiga’ adalah daya tarikan yang biasanya digunakan oleh peniaga di Sabah bagi menjual sayur-sayuran pada harga RM10 untuk tiga jenis atau tiga paket sayur.
Istilah tersebut biasanya digunakan peniaga di tapak-tapak tamu mahupun di gerai sayur di Pekan Kundasang bagi menarik perhatian pelanggan. Taktik sebegitu sudah lama dipraktikkan dalam kalangan peniaga di negeri ini.
Katanya, sayur yang dijual biasanya sudah sedia dibungkus mengikut jenis termasuk kubis, lada besar, tomato, lobak mahupun timun.
“Biarpun sayur dijual pada harga yang murah namun, ada kalanya pendapatan yang diperoleh tidak menentu. Ada kalanya memperoleh RM50 sehari pun susah. Namun, pada musim cuti sekolah, hasil jualan boleh mencecah RM200 sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Mechell Rovena George,40, berkata, taktik berniaga sayur dengan harga RM10 untuk tiga jenis sayur memberi kelebihan kepada pelanggan untuk memperoleh sayur dengan harga yang murah.
Katanya, sayur-sayuran yang dijual di Pekan Kundasang adalah sayur segar yang diperoleh dari ladang-ladang sayur di sekitar kawasan tumpuan pelancong berkenaan.