KANGAR: Media sosial menjadi antara instrumen penting bagi memasarkan produk-produk warisan dan pelancongan buat seluruh masyarakat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penguasaan terhadap kaedah pemasaran yang kreatif dan inovatif menggunakan media sosial dan Kecerdasan Buatan (AI) amat penting bagi memastikan capaian yang lebih meluas kepada orang ramai.
Titah baginda, dunia global semasa juga menuntut pemain industri pelancongan dan kebudayaan untuk memasarkan produk masing-masing secara kreatif serta inovatif.
“Sektor pelancongan yang sudah semestinya memberikan pulangan ekonomi kepada masyarakat dan negara wajarlah sentiasa diperkasa secara menyeluruh dan konsisten.
“Pemerkasaan ini hendaklah dilaksanakan dengan memanfaatkan keunikan warisan kebangsaan, warisan budaya ketara, warisan budaya tidak ketara dan warisan semula jadi dengan tidak hanya memfokuskan kepada negara kita sahaja malah seluruh Nusantara,” titah baginda menyempurnakan Majlis Pelancaran Festival Warisan Nusantara 2024 (Warisan’24) di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis juga telah melaksanakan beberapa inisiatif yang signifikan dalam mengangkat nilai warisan adat di negeri ini antaranya dengan memperkenalkan tengkolok rasmi Putra Julang Darjat sebagai simbol keagungan adat di Perlis.
“Jawatankuasa juga telah mewajibkan pemakaian kebaya Perlis dalam majlis rasmi sebagai satu langkah memperkasakan identiti tradisional negeri ini,” titah baginda.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, baginda turut mengalu-alukan agar lebih ramai pihak dapat membuat kajian mendalam dan menghasilkan penulisan seperti buku serta artikel mengenai warisan yang wujud di Perlis.
Titah baginda, langkah tersebut amat penting dalam menyediakan bahan rujukan yang berfakta dan berkualiti tinggi buat generasi akan datang.
“Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga kini dalam proses mengkaji dan merangka Pelan Masyarakat Perlis Bertamadun yang bertujuan melahirkan satu jati diri unik dan tersendiri buat masyarakat negeri ini. Semoga segala usaha ini akan membawa kepada pengukuhan tamadun Perlis yang lebih gemilang satu hari nanti,” titah baginda.-UTUSAN