PETALING JAYA: Polis Selangor mengesahkan penahanan tiga individu termasuk teman lelaki seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu, susulan penemuan mayat reput di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan semalam berusia antara 16 hingga 51 tahun.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada teman lelaki serta dua ahli keluarganya ditahan.
“Ketiga-tiga mereka yang ditahan telah direman sehingga 5 Januari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, mayat yang ditemukan di lokasi kejadian didapati reput (decompose) dan tidak dikenal pasti melalui pengecaman fizikal.
“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Banting,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pihak polis kini menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.
21 Disember lalu, media melaporkan polis memohon bantuan awam untuk mengesan remaja bernama Yap Xin Yuan yang hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan laporan kehilangan itu dibuat oleh keluarga mangsa pada pukul 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
Menurutnya, selepas latihan, remaja tersebut tidak pulang ke rumah dan sebaliknya dikatakan mengikuti rakannya ke satu lokasi yang belum dapat dipastikan.
Mangsa dilaporkan mempunyai ketinggian 155 sentimeter, berat 39 kilogram, berbadan kurus, memakai pendakap gigi, berambut panjang, dan kali terakhir dilihat memakai baju tarian singa berwarna merah.