SEREMBAN: Sempena perayaan Krismas tidak lama lagi, syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) menganjurkan Program CSR Krismas Wild West 2024 bagi meraikan golongan kurang bernasib baik.
Diadakan di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan di sini semalam, pelbagai aktiviti di dalam dalam program melibatkan kanak-kanak di bawah jagaan Church of Visitation, Jalan Yam Tuan, komuniti Orang Asli dari Kampung Orang Asli Sebir, Labu dan kanak-kanak istimewa dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Min.
Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Pembangunan Hartanah Matrix Concepts, Tan Sze Chee berkata, penganjuran program itu menunjukkan komitmen berterusan Matrix Concepts untuk membantu komuniti yang kurang bernasib baik.
“Kami menghimpunkan mereka untuk berkongsi kegembiraan dan kebaikan, kami berharap dapat mencipta hubungan bermakna dan menggalakkan semangat inklusiviti serta perpaduan. Kami amat berbesar hati meraikan mereka yang pelbagai dalam majlis ini yang benar selari dengan semangat musim perayaan ini,” katanya dalam pelancaran program tersebut.
Sementara itu, kata beliau, Matrix Concepts akan menjemput orang ramai untuk hadir pada program Krismas Wild West yang bermula hari ini sehingga 22 Disember di di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan.
“Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertunjukan salji, pasar Krismas, hiasan lampu dan pertunjukan bunga api pada 22 Disember nanti,” jelasnya.