KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus mengambil tindakan tegas terhadap peminjam tegar yang gagal melunaskan hutang bagi memastikan dana yang disalurkan dapat digunakan secara optimum untuk membantu lebih ramai pelajar dan usahawan yang memerlukan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu sudah menunjukkan keberkesanan dengan peningkatan kadar bayaran balik.
Menurut beliau, bayaran balik pembiayaan bukan sahaja tanggungjawab peminjam, malah merupakan elemen penting untuk memastikan kesinambungan bantuan kepada generasi pelajar dan usahawan akan datang.
“Kita melihat peningkatan dalam kadar bayaran balik terutamanya apabila tindakan tegas diambil.
“Ini menunjukkan pendekatan yang lebih tegas perlu diteruskan demi memastikan dana MARA digunakan dengan telus dan berkesan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Pada 10 Disember lalu, Mara bertindak menyerbu kediaman aktres Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta di Kota Damansara ekoran kegagalan menjelaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Dalam serbuan itu, beberapa barangan peribadi milik pelakon itu bernilai hampir RM100,000 disita oleh pihak mahkamah.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, MARA sentiasa melaksanakan program pemulihan bagi memberi peluang kepada peminjam untuk berbincang dan menyelesaikan tunggakan secara berhemah.
“MARA tidak terus menghukum. Program ini membolehkan peminjam menstruktur semula pembayaran mereka. Namun, bagi mereka yang terus mengelak, tindakan tegas seperti senarai hitam akan dilaksanakan.
“Selain pembiayaan pendidikan, MARA juga menyediakan pembiayaan perniagaan, jadi, tanggungjawab peminjam untuk melunaskan hutang adalah penting untuk memastikan dana yang diperuntukkan dapat digunakan secara menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, peminjam yang mempunyai tunggakan perlu segera berhubung dengan pihak MARA untuk mencari penyelesaian.
“Seperti mana mereka memohon dan merayu bantuan pada peringkat awal, kita berharap mereka tidak lupa tanggungjawab untuk membayar balik selepas berjaya.
“Tanggungjawab ini bukan sahaja membantu MARA tetapi juga generasi lain yang memerlukan pembiayaan,” katanya.