ISKANDAR PUTERI: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup masuk tiga kotak daging wagyu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini semalam berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor.
Pengarahnya, Edie Putra Md. Yusof berkata, kenderaan persendirian dipandu individu berusia 40 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan pada pukul 11.40 pagi dan menemukan 21.4 kilogram daging wagyu bernilai RM18,832.
“Kesemua daging itu disimpan dalam tiga kotak yang diletak di bahagian belakang kenderaan berkenaan. Pemeriksaan lanjut mendapati produk tersebut dibawa masuk tanpa permit import.
“Daging wagyu tersebut juga tidak memiliki sebarang sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Edie Putra memberitahu, lelaki tersebut telah ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN