KLANG: Malaysia menyasarkan penurunan import getah kepada RM3 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM6 bilion ketika ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri getah negara kini mampu mengeluarkan kira-kira 350,000 metrik tan bahan asli itu setahun.
Menurutnya, sebanyak 420,000 hektar ladang getah tempatan didapati dalam keadaan terbiar dan pengeksportan melebihi satu juta metrik tan sebelum ini.
“Justeru itu, kita masih terpaksa mengimport getah terutama bagi industri pakaian sehingga mencecah RM6 bilion setahun.
“Jika dapat mengekalkan produk-produk getah dengan mendominasi pasaran antarabangsa, kita sasar menurunkan pengimportan kepada RM5 bilion dan mungkin hanya setengah iaitu RM3 bilion,” katanya selepas melancarkan Eksport Pertama Getah negara Mematuhi Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) ke Kesatuan Eropah, hari ini.
Pengeksportan bahan mentah yang diperoleh daripada pekebun kecil tempatan itu melibatkan syarikat Lee Rubber Group Sdn. Bhd dan Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. masing 100 metrik tan ke Slovakia dan Belanda.
Pada 7 Oktober lalu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melancarkan inisiatif itu bagi memastikan industri getah dapat memenuhi keperluan antarabangsa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030.
MSNR merupakan pengiktirafan secara kawal selia dan penguatkuasaan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM bagi memastikan getah dihasilkan dapat memasuki pasaran dunia sebagai produk mampan serta berdaya saing.
Penguatkuasaan bermula pada 1 Januari depan itu mengenakan syarat kepada pihak terlibat supaya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan pengiktirafannya.
MSNR memfokuskan lima prinsip utama kemampanan antaranya tiada penyahhutanan penanaman getah, penanaman berpandukan Kanun Tanah Negara dan kebolehkesanan rantaian bekalan.
Dalam pada itu, kata Johari, industri getah negara merekodkan pencapaian membanggakan menerusi pelaksanaan MSNR bagi memastikan komoditi berkenaan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
“Perkara itu dibuktikan menerusi pematuhan standard lebih awal berdasarkan European Union Deforestation Regulation (EUDR) yang menyaksikan dua syarikat getah tempatan mengeksport 200 tan Standard Malaysian Rubber (SMR) ke negara kesatuan itu.
“Bulan lalu, Parlimen Kesatuan Eropah (EU) meluluskan usul menunda tarikh penguatkuasaan EUDR daripada 30 Disember ini kepada 30 Disember 2025 bagi syarikat besar manakala 30 Jun 2026 untuk perusahaan kecil dan sederhana,” jelasnya.
Tambah beliau, biarpun peraturan EUDR belum dikuatkuasakan, Malaysia komited mematuhi aspek kemampanan antarabangsa melalui MSNR.
“Ini membuktikan ketersediaan sektor agrikomoditi dalam memastikan rantaian bekalan industri mematuhi amalan-amalan kemampanan antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN